Aug 16, 2009

Rakyat Malaysia Kempunan Lagi

Semalam (15 Ogos 2009) berakhirnya episod buruan gelaran juara badminton dunia Hyderabad bagi negara kita. Dengan itu, penantian lebih 30 tahun belum berakhir. Harapan negara yang disandarkan kepada Datuk Lee Chong Wei dan beregu no 1 negara Khoo dan Tan hanya tinggal harapan. Selepas kekalahan Datuk Lee Chong Wei pada peringkat suku akhir kepada Suni Konchoro telah meranapkan impian jutaan rakyat malaysia. Namun dengan kemaraan dua beregu utama negara ke perlawanan separuh akhir sedikit menceriakan, setidak-tidaknya mengubat kekecewaan jutaan rakyat Malaysia akibat kekalahan Lee Chong Wei. Namun segalanya musnah, seperti yang diketahui umum, bahawa kedua-dua regu ini tewas kepada lawan masing-masing pada peringkat separuh akhir kelmarin.

Memang menang dan kalah adat perlawanan dan permainan. Saya tidak mahu mengulas akan kekalahan pasangan muda negara Zakary/Faridzuan, kerana perlawanan mereka tidak disiar secara langsung dan kita tidak tahu sejauhmana aksi mereka. Melihat akan aksi yang ditunjukkan oleh pasangan utama negara Khoo/Tan, saya adalah antara rakyat Malaysia yang kecewa dengan aksi dan prestasi yang ditunjukkan oleh mereka lebih-lebih lagi dalam set kedua.

Melihat akan permainan mereka di set pertama seperti seolah-olah mereka yang berhak mara ke perlawanan akhir. Segala kurang menjadi yang ditunjukkan oleh pasangan Korea di set pertama itu gagal dimanfaatkan oleh pasangan negara dalam aksi set kedua. Aksi pemain Korea di set pertama dan permulaan set kedua bukanlah permainan mereka yang pernah saya tonton sebelum ini, samada dari segi pertahanan, menyerang dan kepantasan mereka semuanya mudah diatasi oleh pasangan negara (khoo dan Tan) . Boleh dikatakan segalanya kurang menjadi bagi pasangan Korea itu.

Sepatutnya pada saya, Khoo dan Tan perlu meneruskan aksi permainan pantas dan menyerang serta menggunakan peluang yang ada (akibat kurang menjadi pasangan Korea) untuk mencapai kemenangan di set kedua. Tapi apa yang saya nampak mereka lebih kepada aksi bertahan. Apa rasional dan tujuan saya tidak pasti!. Justeru, mereka tewas mudah diset kedua.

Set ketiga kelihatan seimbang, pada suatu ketika pasangan negara meninggalkan pasangan Korea empat mata, namun seperti perlawan dan permainan dalam kejohanan Super Series yang pernah saya lihat, mereka terutamanya Khoo terlalu mengambil mudah. Mereka belum lagi sampai keangka 21 yang menjadi penamat, mereka terutamanya Khoo sudah mula rasa mereka yang menang dengan mempamerkan aksi yang boleh saya sifatkan seperti 'R & D' atau 'main-main'. Sebaliknya pasangan Korea terus merapatkan jurang perbezaan dengan menyamakan kedudukan seterusnya mendahului dua mata pada penghujung set ketiga. Ketika itu barulah mereka terutamanya (khoo) menunjukkan aksi sebenarnya. Tetapi sudah terlewat!!
Saya melihat tabiat pasangan negara ini bukan di Kejohanan Dunia ini sahaja, tetapi juga di kejohanan-kejohanan Super Series. Tabiat suka berpuas hati atau meraikan kejayaan sebelum mencapai kejayaan sebenar iaitu berada diangka 21 sukar diubah oleh pasangan ini. Di sini saya fikir jurulatih atau Pasukan Psikologi Badminton Negara perlu menangani masalah ini segera agar sikap dan tabiat ini tidak berterusan pada mereka dan harapan menggunung peminat badminton tanahair tidak kempunan lagi.