Dec 22, 2009

Betul ke Ini Kenyataan Lim Guan Eng ??

Kenyataan YAB Lim Guan Eng yang saya petik dari blog http://anginperubahan.blogspot.com/ betul ke di bawah ini kenyataan Lim Guan Eng….

"Silat juga kami akan haramkan di Pulau Pinang seperti kami haramkan BTN, kerana dengan silat inilah Melayu begitu angkuh dan kejadian Pemuda UMNO menjulang keris amat ketara perkauman. Dengan diharamkan silat di Malaysia, kami warga Cina dan India akan berasa begitu selamat. Kerana kami mementingkan pendidikan daripada membuang masa" kata Guan Eng dalam Lim Guan Eng Blog Channel pada 16 Disember 2009.

Siapa yang perkauman? Kenyataan Guan Eng ini jelas membuktikan DAP memang rasis terhadap orang Melayu.- Ulas pengendali blog anginperubahan..

Dec 20, 2009

Memperkukuhkan Pakatan Rakyat

Ucapan YB Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

Walaupun sistem Demokrasi Berparlimen mengizinkan rakyat membuat perubahan,namun perubahan tidak berlaku, seolah-olah negara di kongkong oleh sistem satu parti, iaitu konsep yang sangat bercanggah dengan amalan demokrasi yang dilaksana dalam masyarakat yang berpendidikan diseluruh dunia. Keadaan ini tidak harus di biarkan berterusan, kerana menimbulkan berbagai-bagai masalah yang lebih menyusahkan.

Masalah-masalah itu termasuklah perkara-perkara yang asas dalam perlembagaan seperti Islam agama persekutuan, hak-hak kepada penganut agama-agama lain di kalangan penduduk berbagai etnik, bahasa melayu menjadi bahasa kebangsaan, pentadbiran yang saksama dan bijak, kedaulatan undang-undang yang adil, raja berpelembagaan, konsep federalisma yang saksama dan lain-lainnya, semuanya tidak terlaksana dengan cara yang tepat.

Akibatnya, perubahan menyeluruh tidak dapat dilaksanakan, tanpa pakatan semua pihak, yang menyatukan tujuan melakukan perubahan, sehingga membebaskan diri majoriti rakyat lemah. Mereka yang merupakan majoriti masyarakat yang menjadi mangsa kecuaian tersebut adalah majoriti pengundi. Tanpa menggerakkan mereka sendiri, tidak berlansung kepada perubahan menyeluruh, sebabnya kerana mereka di perbodoh, ditipu dan dirasuah . Al Quran memaparkan kisah iktibar daripada kerajaan Fir’aun yang memerintah Mesir:

51. dan Firaun pula menyeru (dengan mengisytiharkan) kepada kaumnya, katanya: "Wahai kaumku! Bukankah kerajaan negeri Mesir ini - Akulah Yang menguasainya, dan sungai-sungai ini mengalir di bawah arahan ku? tidakkah kamu melihatnya?

52. "Bahkan bukankah aku lebih baik daripada orang yang hina keadaannya ini, dan yang hampir-hampir tidak dapat menjelaskan perkataannya?

53. "(Kalau betul ia seorang Rasul) maka sepatutnya ia dipakaikan (oleh Tuhannya) gelang-gelang emas (yang menandakan ia seorang pemimpin berpangkat besar), atau datang malaikat bersama-sama dengannya (sebagai saksi tentang kebenarannya)?"

54. (Dengan yang demikian), maka Firaun memperbodohkan kaumnya, lalu mereka mematuhinya; Sesungguhnya mereka itu adalah kaum yang fasik (jahat). Tamaddun Mesir yang terdiri daripada Piramid yang dijaga oleh UNESCO itu adalah bangunan bagi perkuburan Raja Mesir, satu pyramid untuk seorang raja, adalah merupakan suatu projek mega di zaman itu, dibangunkan dengan hasil memaksa rakyat dan merampas hasil negara untuk faedah golongan pemerintah sahaja. Projek seperti ini ada dikeseluruhan negara yang dianggap bertamadun awal, rakyat diperhamba dan perbodohkan. Amalan ini tetap berulang di zaman masing-masing termasuk zaman kita sekarang.Sunami politik pilihanraya kedua belas menunjukkan konsep pakatan Rakyat mampu melakukan perubahan, sekiranya diolah dengan cara yang lebih baik boleh berlaku perubahan yang lebih besar walaupun ada kepencangan dalam amalan Demokrasi.


DEMOKRASI

Parti Islam Se Malaysia (PAS) yang berasaskan Islam terus memilih pendekatan secara saluran demokrasi pilihanraya, walau pun banyaknya berlaku kepincangan dalam negara kita , kerana perubahan kepada demokrasi moden banyak menimba dari Tamadun Islam hasil hubungan barat dengan tamadun Islam dan hubungan Islam dengan Tamadun umat lain dari timur dan barat, kerana pesanan Nabi Muhammad S.A.W. : “Kebijaksanaan laksana barang berharga yang tercicir mesti dipungut walau dari mana datangnya”. Di samping hukum yang telah sedia ada dalam Islam, maka Islam menerima sistem dan hukum daripada masyarakat berbagai bangsa, agama dan budaya.

PAS yang berlandaskan Islam , yang tidak bersifat sekularisma seperti yang didokong oleh parti yang memerintah sekarang , terbuka kepada pakatan dengan semua pihak yang berhasrat baik dan berniat murni untuk menyelamat negara dan rakyat daripada gejala negatif seperti kezaliman, penyelewengan dan kelemahan yang menular dalam pentadbiran negara kita sekarang, melalui konsep demokrasi yang sebenarnya.

Demokrasi bukan hanya hari mengundi , ataupun sekadar memberi hak mengundi kepada mereka yang di senaraikan dalam daftar pemilih, tetapi hendaklah juga diambil kira cara pendaftaran berlaku dengan adil, pemikiran mereka membuat pilihan dengan maklumat media yang demokratik, suasana hidup yang tidak memaksa mereka dalam menentukan hak membuat pilihan, serta pengurusan pilihanraya yang adil.

Sebenarnya kita mengalami demokrasi yang sakit tenat , dengan kongkongan yang menghalang rakyat menjadi hakim yang adil melalui mahkamah pilihan raya, kerana saksi daripada media yang tidak memberi keterangan yang adil dan telus bagi semua pihak. Parti yang memerintah terus memerintah di masa pilihanraya , sehingga menyalahgunakan alat-alat kerajaan melalui kementerian dan jabatan, jentera kerajaan dan pasukan keselamatan, sehingga undang-undang pilihanraya menjadikan padang lapangan pilihanraya itu tidak sama rata.

Umat Islam sedang menyambut tahun baru hijrah bagi memperingati penubuhan negara masyarakat majmuk di kota Madinah 1430 tahun lalu, yang lahir daripadanya perkataan masyarakat madani yang dicetuskan oleh Ibnu Khaldun dalam buku tulisannya yang telah diterjemah ke dalam berbagai bahasa . Umat Islam memperingati penubuhan negara masyakat majmuk, dalam keadaan jumlah penganut agama Islam adalah minoriti dibandingkan dengan jumlah keseluruhan penganut berbagai agama yang terlibat dalam penubuhannya di peringkat awal dan negara itu berlansung sehingga lebih empat belas abad, sehingga tamat dengan kejatuhannya, apabila umat Islam sendiri tidak berpegang dengan ajaran mereka, maka PAS berharap rakan-rakan yang bukan Islam jangan mengambil contoh daripada Islam UMNO. Dengan ini PAS ingin membuktikan kita boleh berpakat dan setia dengan perjanjian dalam pakatan kerana inilah ajaran agama.


PERPADUAN

Alhamdulillah kita bersama-sama tinggal dalam negara Malaysia yang dibentuk di atasnya masyarakat majmuk, di mana semua kaum besar di Asia berada di sini. Sepatutnya kita membuka mata dengan realiti yang ada sehingga kita tidak boleh menganggap rakannya adalah pendatang , bukan penduduk asal, kerana kita semua tidak berasa asing disini, bahkan bila kita bertemu di luar negara kita terasa bersama daripada satu negara.

PAS yang berlandaskan Islam menganggap semua manusia adalah sama, kerana realiti mereka percaya kepada Tuhan yang satu, walau pun selepas itu adanya penganut agama yang melantik tuhan-tuhan yang banyak yang sangat bercanggah dengan Islam, tetapi semuanya mengaku kepada Tuhan yang satu sahaja iaitu pencipta alam yang Maha Berkuasa, maka di atas perinsip aqidah ini Islam mewajibkan kerajaan berlaku adil kepada semua tanpa mengira bangsa dan agama yang berlainan. Islam menganggap semua manusia daripada keturunan Adam dan Hawa, ada pun bangsa dan bahasa yang berbeza, warna kulit yang berlainan, taraf hidup yang tidak sama, semuanya berlaku kemudian. Semua perbezaan itu terbentuk selepas proses masa yang panjang , Islam menjadikan perbezaan itu tanda kebesaran Allah :

(Dan di antara tanda –tanda ketuhanan Allah Yang Maha Esa ialah Dia mencipta langit dan bumi dan Dia mencipta kamu berbagai-bagai bahasa dan warna kulit).Maka mewajibkan adil kepada semua manusia :

وإذا حكمتم بين الناس أن تحكموا بالعدل

(Dan apabila kamu memerintah di kalangan manusia hendaklah berlaku adil).

Haram berlaku zalim sesama manusia dalam segala aspek, hatta diperingkat antara bangsa, di masa aman dan perang. Apa lagi kalau kita semua dalam satu negara maka lebih haram lagi kalau berlaku zalim.

Perpaduan di kalangan manusia tidak berlaku dengan aspek ekonomi sahaja, atau aspek politik sahaja, dalam perbatasan negeri dan serantau sahaja, keturunan bangsa sahaja, tetapi perpaduan itu pernah berlaku dengan kosep adil untuk semua dengan maksud menyeluruh, tanpa mengira hanya satu aspek sahaja, bahkan merangkumi aspek ruhani dan jasmani, individu, keluarga, masyarkat, negara dan antarabangsa dan negara. Kerana naluri manusia yang hidup bermasyarakat tidak menjadikan satu bangsa itu menghasilkan segala keperluan hidup, berlakunya kepelbagaian kebolehan dan kepunyaan, selepas itu hendaklah adanya pertukaran keperluan yang mewajibkan percampuran yang berkongsepkan adil dan menghapus segala bentuk kezaliman di antara satu sama lain, di atas semangat persaudaraan kemanusiaan, walaupun berbeza dalam perkara yang banyak.

Adanya negara, perlembagaan, undang-undang dan pentadbirannya adalah bagi menjamin sifat adil yang memupuk perpaduan yang sebenar, dan kita mestilah bersama menentang kezaliman yang mejadi penyakit dalam kehidupan manusia.

Zalim boleh memecah-belahkan satu keluarga, maka lebih lagi memecahkan satu negara, kerana zalim itu menghilangkan kasih sayang di antara satu sama lain. Perpecahan dalam tiap-tiap satu parti BN yang sedang memerintah sepatutnya menjadi iktibar kepada Pakatan Rakyat, dan kita sendiri mestilah menunjukkan perpaduan walaupun berbeza pendapat dalam beberapa perkara. Dahulukan perkara yang disepakati dan mengambil masa dengan sabar dalam perkara yang masih berbeza.


MENGISI KEMENANGAN DI NEGERI DAN KAWASAN

Hari ini kita berbincang bagi merangka masa depan menghadapi pilihanraya ke 13, dalam masa yang sama kita perlu menjadi model di negeri yang telah kita kuasai, di mana lawan kita mencari setiap kelemahan kita. Media arus perdana yang masih tidak banyak memberi ruang yang adil kepada kita, sudah pasti membesarkan kesilapan yang kecil daripada kita dan memperkecilkan kejayaan yang besar daripada kita. Mereka juga akan mengambil setiap kelemahan parti dan individu. Peristiwa Perak perlu menjadi contoh, perlu dilihat bukan sahaja kezaliman dalam amalan demokrasi merampas kuasa di Perak, tetapi juga perlu dilihat ruang kelemahan kita sendiri yang memberi peluang kepada lawan mengambil kesempatan.

Kerajaan Pakatan Rakyat di negeri-yang telah kita kuasai adalah hujah terdekat bagi menghasilkan sokongan rakyat untuk Pilihanraya Ke13. Sekurang-kurangnya kita dapat mebebaskan diri daripada penyakit yang sedang menular dalam parti dan kerajaan BN disemua peringkat.

JENTERA PARTI

Perubahan kepada segala aspek sangat bergantung dengan peranan politik, di sinilah besarnya peranan kita bagi menyelamatkan negara kita. Maka setiap parti hendaklah mengukuhkan jentera parti masing-masing di semua peringkat, sehingga menjadi ukuran untuk meletakkan calon, dan bukan sekadar meletakkan calon secara berangan-angan tanpa berpijak di atas bumi kenyataan melalui kekuatan parti yang sebenar, kemudian berkrisis dalam masalah menentukan calon. Hendaklah berusaha mencari seberapa banyak ahli yang ada untuk menjadi petugas parti dan cawangan yang ditubuhkan untuk menjadi jentera parti. Jangan berpijak diatas kehadiran dalam majlis ceramah dan hanya penyokong yang berpaut dengan isu sementara waktu dan boleh menjadi mangsa politik wang yang masih menjadi wabak penyakit kepada demokrasi di negara kita. Kita tidak boleh berpaut di atas perancangan jangka pendek, kerana perjuangan politik wajib mengharungi jangka panjang, bukan sahaja untuk mencapai kemenangan, tetapi juga merancang untuk mengisi kemenangan dan percayalah bahawa mengisi kemenangan itu sebenarnya lebih sukar daripada mencapai kemenangan . Saya percaya bahawa perbincangan kita hari ini lebih tertumpu kepada mengisi kemenangan.


PERKUKUH PAKATAN RAKYAT

Hari ini kita berbahas dengan sehangat-hangatnya, bagi mendatangkan natijah terbaik ke arah megukuhkan parti, dan di sana sudah tentu ada perbezaan pendapat, dan pendapat yang terkuat hujahnya adalah pengukuhan kepada resolusi yang dicapai. Pendapat yang lemah juga tetap dihormati, kadang-kadang yang lemah hari ini menjadi kenyataan yang kuat di masa akan datang, oleh kerana itu dalam budaya ilmu Islam kami bukan sahaja mencatit pendapat yang menjadi keputusan muktamad, pendapat yang lemah juga dijadikan ingatan, dan tidak ada yang diperkecilkan. Kita juga menjadikan majlis ini sebagai medan persaudaraan yang menemukan kita semua di atas semangat persaudaraan dalam satu bahtera negara tercinta, kalau selamat bahtera ini, selamatlah kita semua dan sampai ke destinasi yang dituju untuk pilihanraya ke 13. Saya ucapkan berbanyak terima kasih kepada semua yang hadir dan selamat berkonvensyen. --------------------------------

UCAPAN PERDANA SEMPENA KONVENSYEN PAKATAN RAKYAT PERTAMA OLEH DATO’ SERI TUAN GURU ABDUL HADI AWANG PRESIDEN PARTI ISLAM SE MALAYSIA (PAS) pada 19 Disember 2009 di Auditorium MBSA, Shah Alam, Selangor

Dec 3, 2009

Pengorbanan lampau dan kini

TGNA bersungguh-sungguh mendesak Pas Pusat untuk mengadakan EGM bagi membincangkan dua tiga kerat pemimpin Pas yang bermasalah seperti yang dilaporkan dalam blognya yang menggemparkan seluruh negara beberapa bulan lepas ketika mengulas tulisan Dr Aziz Bari. Akhirnya seperti yang diketahui khalayak EGM yang dicadangkan ditukarkan kepada Seminar Khas. Moralnya... pengaruh dan kredibiliti TGNA berjaya mempengaruhi Pas Pusat untuk mengadakan seminar itu.
Hampir dua minggu berlalu arahan dan nasihat PAS Pusat kepada TGNA untuk mengarahkan dan menasihatkan menantunya Arif Fahmi meletak jawatan CEO PMBK. Namun sehingga hari ini tiada hitam putih perletakkan jawatan tersebut. Adakah kenyataan akhbar TGNA selepas pertemuan dengan Pas Pusat tempoh hari hanya sekadar 'ubat pelali' untuk meredakan keadaan.

Melihat apa yang berlaku di Kelantan sekarang khasnya isu CEO PMBK, walaupun telah dinasihat oleh Pas Pusat untuk menasihati menantunya AAF supaya meletak jawatan namun TGNA dilihat kurang berjaya dalam menyelesaikan kemelut ini berbanding desakannya terhadap Parti untuk mengadakan seminar khas. Sepatutnya pada hemat saya TGNA boleh mengarahkan supaya menantunya mengosongkan kerusi CEO PMBK serta merta setelah perjumpaan dengan Pas Pusat tempoh hari sekiranya ingin mengelak dari berlaku fitnah dan menjaga nama baik kepimpinan Parti PAS, dan PAS Kelantan serta persepsi negatif terhadap kepimpinan TGNA sendiri. Akibat dari itu, isu ini terus menerus dimainkan oleh media arus perdana dan media baru. Khalayak melihat integriti TGNA terjejas kerana lambat bertindak atau menasihat menantunya meletak jawatan dengan kadar segera walaupun telah diberi nasihat untuk berbuat demikian. Adakah Abdul Arif Fahmi memerlukan masa 1 -3 bulan untuk mengosongkan kerusi CEO tersebut?

Sehubungan dengan itu, bersempena bulan haji ini, saya insaf dan sedar bahawa pengorbanan Nabi Allah Ibrahim a.s bila menerima perintah dari Allah supaya menyembelih anaknya Nabi Ismail a.s sangat berat untuk dilaksanakan, namun ketaatan dan keimanan Nabi Ibrahim kepada Allah s.w.t mengatasi segalanya. Kita melihat Nabi Allah Ibrahim melaksanakan perintah Allah dengan rasa ketakwaan yang tinggi. Memang kita sebagai manusia biasa tidak mampu untuk menghadapi ujian yang sebegitu hebat seperti yang dihadapi oleh Nabi Ibrahim a.s.

Bila musim haji kita selalu menceritakan kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail ini. Sedikit sekali dari kalangan kita, termasuk penulis yang mengambil pengajaran untuk dijadikan penyuluh mendepani kehidupan ini. Kita sekarang bukan berdepan dengan ujian seperti Nabi Ibrahim, tetapi ujian dengan gula, kain batik/pelikat, wang ringgit, anak, menantu, isteri dan harta benda dan lain-lain perhiasan dunia. Adakah kita mampu mendepani dan mengurus ujian ini? Tepuk dada tanya iman….


Wallahu aklam..

Dec 1, 2009

Cepat, Tepat Dan Betul

Tahniah dan syabas kepada pasukan keselamatan khasnya pihak Polis Diraja Malaysia yang segera bertindak menahan seorang lelaki yang dipercayai terbabit mengguris gambar sultan Perak, sultan Azlan Shah.

Berikut adalah petikan yang dipetik dari bernama yang diambil dari detikdaily.net.

"Polis menahan seorang lelaki dipercayai terbabit mengguris gambar Sultan Perak, Sultan Azlan Shah di bangunan Perak Turf Club di Ipoh dua hari lalu.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Azisman Alias berkata lelaki berusia 40 tahun itu ditahan hasil maklumat daripada pengawal keselamatan di kelab tersebut selepas menyedari kejadian itu.


Kejadian berlaku kira-kira pukul 10 malam dan lelaki berkenaan ditahan di rumahnya di Ipoh dua jam kemudian, katanya ketika dihubungi hari ini.

Azisman berkata lelaki itu ditahan reman lima hari bagi membantu siasatan bawah Seksyen 425 iaitu khianat merosakkan harta awam.

"Kita belum mengetahui motif perbuatan lelaki itu mengguris dan merosakkan gambar Sultan dan ketika kejadian lelaki itu baru keluar dari kelab karaoke dan mabuk," katanya. BERNAMA
.

Saya sangat menjunjung tinggi usha-usaha pasukan keselamatan dalam membenteras jenayah dan menjaga ketenteraman awam apatah lagi melibatkan Institusi Diraja.

Tetapi, saya sehingga kini tertunggu-tunggu dan ternanti-nanti apakah hasil siasatan yang telah dijalankan oleh Pihak Polis terhadap laporan yang dibuat oleh Kumpulan 10 orang, yang dikenali Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat), di balai polis Kuala Terengganu jam 11:20 pagi (26 Mac 08- Malaysiakini.com) berhubung kes menghina Sultan Terengganu yang juga Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong Sultan Mizan.

Rakyat Malaysia saya kira masih lagi ingat bila isu perlantikan Menteri Besar Terengganu selepas PRU12 lalu yang berpanjangan yang membawa kepada terbitnya kain rentang yang tertera ungkapan "Kami Nak Idris Natang" yang secara tidak langsungnya dilihat umum ditujukan kepada Kebawah Duli Tuanku Sultan. Apakah mereka tidak sedar yang melantik Menteri Besar Terengganu itu adalah Kebawah Duli Tuanku?

Saya berharap, agar polis mengumumkan apakah hasil siasatan yang telah dijalankan dan siapakah pihak yang bertanggungjawab terhadap tulisan atau kain rentang biadap itu. Isu ini telah telah menjangkau hampir dua tahun. Tetapi dalam kes menghina Sultan Perak (semasa pergolakan politik yang membawa kepada tumbangnya kerajaan Pakatan Rakyat) Polis dilihat bertindak sepantas slogannya. Ada di antara mereka yang disabitkan dengan kesalahan menghina itu telah dijatuhkan hukuman. Tahniah!!! Saya ucapkan kepada pasukan keselamatan. Padahal kes itu berlaku pada awal 2009 berbanding kes di Terengganu. Kes di Perak dilihat hampir sama dengan kes di Terengganu iaitu menghina Intitusi Diraja. Jadi kenapa di Perak telah diumumkan tetapi di Terengganu belum ada berita?

Harapan saya dan khalayak juga saya fikir, inginkan hasil siasatan ini diumumkan secepat mungkin. Semoga Cepat, Tepat dan Betul tidak hanya tinggal slogan.




Nov 11, 2009

Husam Oh Husam

Datuk Husam Musa seperti yang dilaporkan oleh harakahdaily tulisan Mazlan jusoh, menjelaskan maksud sebenar kenyataan atau ucapannya dalam menggulung perbahasan di dewan undangan negeri kelantan beberapa hari lalu iaitu mengenai "Adun pembangkang mempunyai peluang dilantik sebagai timbalan Exco" seperti disiarkan Siasah sebelum ini, dan ianya mendapat ulasan meluas media baru. Menurut laporan harakahdaily maksud Datuk Husam ialah adun pembangkang yang meninggalkan parti dan menyertai Pas.

Walau apa pun penjelasan Datuk Husam Musa, masyarakat semua maklum yang pembangkang ketika ini di Dun Kelantan adalah UMNO. Ketika semua pimpinan Pas tertumpu kepada isu UG dengan UMNO Barisan Nasional, Husam pula membuat kenyataan ini. Padahal selama ini yang dimaklumi oleh khalayak Datuk Husam Musalah antara orang yang menentang hebat idea UG ini. Tapi kenapa di peringkat negeri mahu membentuk kerjasama politik dengan menawarkan jawatan exco atau timbalan exco kepada pembangkang, yang khalayak juga maklum ianya adalah UMNO Barisan Nasional.

Walaupun Husam menjelaskan maksudnya itu hanya kepada wakil rakyat yang menyertai Pas, namun tidakkah dia faham yang dia sebut di situ adalah "pembangkang" kalau telah menyertai Pas itu bukan pembangkang. Adakah penjelasan Datuk Husam Musa ini sekadar untuk membetul keterlanjuran bicara yang diucapkan.

Dulu hentam UG, sekarang mahu kerjasama dengan pembangkang UMNO di kelantan. Apa semua ini?? Husam oh Husam...

Nov 9, 2009

Layakkah Dr Aziz Bari Memperlekehkan Pimpinan Pas??

Seminar yang menggantikan EGM telah berlalu. Objektif untuk mengadakan seminar telah tercapai mengikut YB Salehudin Ayub yang juga Naib Presiden Pas. Terserah kepada pucuk pimpinan atasan untuk menterjemahkannya dalam bentuk tindakan.

Ada pendapat yang mengatakan sepatutnya ada yang diambil tindakan http://bongkarsauh.blogspot.com/ menurut pengendali blog ini. Adakah tujuan seminar itu untuk mengambil tindakan atas dua tiga kerat ahli parti yang bermasalah seperti yang dikatakan oleh TGNA atau untuk apa?. Setahu saya Pas telah mengaktifkan semula Jawatakuasa Disiplin Parti yang dipengerusikan oleh Naib Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man. Jadi kita serahlah kebijaksanaan pengerusinya.. Bukan ini yang saya nak utarakan...

Kita menghormati kritikan Dr Aziz Bari yang membawa kepada desakan TGNA untuk mengadakan EGM pada asalnya dan ditukarkan kepada Seminar Khas pada 7/11/09 yang lalu. Tetapi pandangan saya terhadap kritikan Dr Aziz Bari terutamanya terhadap Presiden parti ketika ditemubual oleh wartawan Malaysiakini dua hari sebelum Seminar Khas adalah keterlaluan.

Kita maklum bahawa Dr Aziz Bari adalah seorang yang pakar dalam bidang undang-undang dan Perlembangaan negara. Tetapi beliau bukan seorang ahli politik dan bukan seorang ahli Pas. Walaupun beliau seorang cendikiawan yang agak rapat dengan Pakatan Rakyat, mengatakan Presiden "tiada stim" tidak layak memimpin parti sebesar Pas adalah keterlaluan. Siapa beliau untuk menghina Presiden sebegitu rupa. Adakah dia terlibat dalam proses perlantikan Presiden. Presiden baru saja mendapat amanah dari seluruh perwakilan tanpa bertanding untuk memikul amanah memimpin Parti untuk penggal ini.

Saya sendiri melihat riak muka dan cara menyampaikan kritikan (dalam klik vedio temubual dengan wartawan malaysiakini) terhadap Presiden Pas seolah-olah menghina, sepatutnya mengkritik dengan membina bukan memperlekehkan sebegitu.

Saya yakin Presiden Pas pun telah faham apa yang beliau telah maksudkan dalam penulisannya itu, tetapi dengan tersiarnya riak muka dan cara penyampaian beliau ketika temubual itu menzahirkan beliau adalah seorang profesional yang tidak mampu untuk membuat ulasan tentang politik. Dan Presiden sentiasa berlapang dada apa saja kritikan yang dilemparkan ke atasnya.

Dr Aziz Bari dalam klik video itu menghidupkan kembali kisah Amanat Hj Hadi, katanya TGHA dulunya mengkafirkan UMNO dan sekarang hendak berbaik pula dengan UMNO. Ini adalah isu lama yang telah diselesaikan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan hasil pertemuan dengan TGHA.
Dr Aziz Bari dengan riak mukanya memperlekehkan kemamapuan Presiden Pas kerana hanya turun ketika setiap kali hari penamaan calon. Membandingkan dengan TGNA, Datuk Seri Anwar dan Lim Lit Siang yang jarang turun ketika hari penamaan calon, tapi masih berpengaruh.
Adakah dengan turunnya atau tidak pemimpin pada hari penamaan calon, membantu seratus peratus kemenangan atau mempengaruhi sesebuah Parti Politik yang bertanding?? kalau inilah kayu pengukur yang menjadi ukuran kepada Dr Aziz Bari, maka beliau hanya pakar dalam undang-undang sahaja dan tak berkemampuan untuk membuat ulasan dalam politik.
Oleh itu, tepat sekali seandainya Pas berguru dengan Dr Aziz Bari untuk menentukan kedudukan politik atau pemerintah di Perak sekarang. Sememangnya beliaulah selayaknya Pas berguru dalam menentukan kesahihan pemerintah dari segi perundangan. Tetapi bukan beliau dan sememangnya beliau kurang layak untuk memperli dan memperlekehkan kepimpinan Pas. Namun saya bersetuju sesetengah tulisan beliau (bukan vedio temubual) mengenai Pas.
Lihat-lihatlah..

Oct 21, 2009

Pas Kelantan Tersalah Pilih Calon??

Kalau dahulu ketika ura-ura mantan Pemangku Perdana Menteri ,YB Datuk Seri Anwar Ibrahim mewarwarkan akan membentuk kerajaan pada 16 September 2008 dengan harapan berlaku lompatan parti dalam kalangan ahli UMNO ke dalam Pakatan Rakyat, berlaku perselisihan / perbezaan pandangan dalam kalangan pimpinan PAS mengenai perkara itu sama ada berlaku atau tidak.

Ekoran dari itu, timbul pula dalam kalangan PAS, kumpulan Erdogan (yang menyokong pembentukan kerajaan baru) dan kumpulan yang tidak yakin dengan kerajaan yang diura-urakan itu.

Pelbagai alasan politik yang diberikan terutamanya dari Naib Presiden Pas ketika itu saudara Mohmmad Sabu dan Juga dari Persuruhjaya Pas Terengganu ketika itu iaitu Dato' Mustafa Ali untuk menyokong yang pembentukan kerajaan baru tidak mungkin menjadi kenyataan. (sememangnya tak menjadi).

Selepas kenyataan kedua-dua tokoh di atas yang di mulai dengan Saudara Mohammad Sabu dan beberapa hari selepas itu Dato' Mustafa Ali mengenai pembentukan kerajaan 16 september itu, disusuli pula dengan kritikan YAB Tok Guru Nik Aziz ke atas kenyataan Persuruhjaya Pas Terengganu (Dato' Mustafa Ali). Sehinggakan Tok Guru Nik Aziz menyatakan PAS Terengganu tersalah pilih Persuruhjaya.

Saya tak mau ulas lagi mengenai isu ini.. Saya telah tulis dalam tulisan saya yang lalu.

Sekarang, umum mengetahui kenyataan YB Dato' Ibrahim Ali, ahli parlimen Pasir Mas yang bertanding dan menang atas tiket Pas telah membuat kenyataan di Parlimen hari ini menyatakan, yang dia kekal sebagai ahli bebas dan lebih condong kepada UMNO. Dengan kenyataan Ibrahim ini beliau sememangnya seorang yang 'oportunis'. Beliau telah diminta sendiri oleh YAB Tok Guru Nik Aziz untuk mengosongkan kerusi Parlimen Pasir Mas yang dimenangi atas tiket Pas sebelum ini.

Justeru itu, saya keliru adakah PAS Kelantan tersalah pilih calon untuk kerusi parlimen Pasir Mas yang mana semua khalayak tahu tentang profile Dato' Ibrahim Ali sebelum ini. Adakah Pas Kelantan tak kenal Ibrahim Ali??. Atau Pas yang memerlukan pengaruh Ibrahim Ali untuk menang di Pasir Mas seperti yang dinyatakan oleh beliau "Barangkali ketika itu PAS merasakan partinya lemah, jadi mereka menghulurkan tangan kepada saya untuk meminta bantuan,"- harakahdaily, Azamin Amin, 21 Oktober 2009. Kalau atas dasar untuk memberi peluang dengan harapan beliau akan setia pada Pas, apalah salahnya Dato' Mustafa Ali menyatakan atas dasar pandangan peribadi berdasarkan keadaan yang beliau jelaskan ketika itu tidak berlaku perubahan kerajaan pada tarikh 16 september 2008.

Aug 16, 2009

Rakyat Malaysia Kempunan Lagi

Semalam (15 Ogos 2009) berakhirnya episod buruan gelaran juara badminton dunia Hyderabad bagi negara kita. Dengan itu, penantian lebih 30 tahun belum berakhir. Harapan negara yang disandarkan kepada Datuk Lee Chong Wei dan beregu no 1 negara Khoo dan Tan hanya tinggal harapan. Selepas kekalahan Datuk Lee Chong Wei pada peringkat suku akhir kepada Suni Konchoro telah meranapkan impian jutaan rakyat malaysia. Namun dengan kemaraan dua beregu utama negara ke perlawanan separuh akhir sedikit menceriakan, setidak-tidaknya mengubat kekecewaan jutaan rakyat Malaysia akibat kekalahan Lee Chong Wei. Namun segalanya musnah, seperti yang diketahui umum, bahawa kedua-dua regu ini tewas kepada lawan masing-masing pada peringkat separuh akhir kelmarin.

Memang menang dan kalah adat perlawanan dan permainan. Saya tidak mahu mengulas akan kekalahan pasangan muda negara Zakary/Faridzuan, kerana perlawanan mereka tidak disiar secara langsung dan kita tidak tahu sejauhmana aksi mereka. Melihat akan aksi yang ditunjukkan oleh pasangan utama negara Khoo/Tan, saya adalah antara rakyat Malaysia yang kecewa dengan aksi dan prestasi yang ditunjukkan oleh mereka lebih-lebih lagi dalam set kedua.

Melihat akan permainan mereka di set pertama seperti seolah-olah mereka yang berhak mara ke perlawanan akhir. Segala kurang menjadi yang ditunjukkan oleh pasangan Korea di set pertama itu gagal dimanfaatkan oleh pasangan negara dalam aksi set kedua. Aksi pemain Korea di set pertama dan permulaan set kedua bukanlah permainan mereka yang pernah saya tonton sebelum ini, samada dari segi pertahanan, menyerang dan kepantasan mereka semuanya mudah diatasi oleh pasangan negara (khoo dan Tan) . Boleh dikatakan segalanya kurang menjadi bagi pasangan Korea itu.

Sepatutnya pada saya, Khoo dan Tan perlu meneruskan aksi permainan pantas dan menyerang serta menggunakan peluang yang ada (akibat kurang menjadi pasangan Korea) untuk mencapai kemenangan di set kedua. Tapi apa yang saya nampak mereka lebih kepada aksi bertahan. Apa rasional dan tujuan saya tidak pasti!. Justeru, mereka tewas mudah diset kedua.

Set ketiga kelihatan seimbang, pada suatu ketika pasangan negara meninggalkan pasangan Korea empat mata, namun seperti perlawan dan permainan dalam kejohanan Super Series yang pernah saya lihat, mereka terutamanya Khoo terlalu mengambil mudah. Mereka belum lagi sampai keangka 21 yang menjadi penamat, mereka terutamanya Khoo sudah mula rasa mereka yang menang dengan mempamerkan aksi yang boleh saya sifatkan seperti 'R & D' atau 'main-main'. Sebaliknya pasangan Korea terus merapatkan jurang perbezaan dengan menyamakan kedudukan seterusnya mendahului dua mata pada penghujung set ketiga. Ketika itu barulah mereka terutamanya (khoo) menunjukkan aksi sebenarnya. Tetapi sudah terlewat!!
Saya melihat tabiat pasangan negara ini bukan di Kejohanan Dunia ini sahaja, tetapi juga di kejohanan-kejohanan Super Series. Tabiat suka berpuas hati atau meraikan kejayaan sebelum mencapai kejayaan sebenar iaitu berada diangka 21 sukar diubah oleh pasangan ini. Di sini saya fikir jurulatih atau Pasukan Psikologi Badminton Negara perlu menangani masalah ini segera agar sikap dan tabiat ini tidak berterusan pada mereka dan harapan menggunung peminat badminton tanahair tidak kempunan lagi.

Jul 28, 2009

Berbezakah penjelasan Datuk Nik Aziz dengan Ust Nasha

Sekarang heboh pula soal memulihkan hubungan antara kerajaan negeri Kelantan dengan Kerajaan Persekutuan atas semangat federalisme. Datuk Nik Aziz yang juga MB Kelantan bersedia melupakan perselisihan dan permasalahan lalu untuk berbaik dengan kerajaan Persekutuan. Huluran tangan Datuk Nik Aziz disambut baik oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yasin. Malangnya 'tangan persahabatan' ini disalahtafsirkan (kata pihak Nik Aziz) oleh pihak kerajaan pusat yang sememangnya UMNO.


Menurut Datuk Nik Aziz, persahabatan/hubungan ini adalah antara kerajaan negeri Kelantan dengan kerajaan Persekutuan bukan hubungan antara Pas dengan Umno. Umno yang sememangnya sentiasa mencari peluang untuk memulihkan imej parti pada pandangan masyarakat, menyambut baik persahabatan ini melalui Tim. Presiden Umno sehingga ke tahap ingin membawa ke mesyuarat majlis tertinggi parti dan membentuk jawatankuasa khas membincangkan bentuk kerjasama ini. UMNO bijak mencari dan mencipta peluang!!

Pada saya, saya suka melihat isu ini pada pihak Pas sendiri. Setelah isu ini dimainkan oleh pihak media, kalangan pimpinan Pas yang condong kepada Nik Aziz dalam isu kerajaan perpaduan dulu mempertahankan dan menjelaskan maksud hubungan atau kerjasama yang di makksudkan oleh Datuk Nik Aziz. Ya, bagi ahli pas, sememangnya itulah maksud Datuk Nik Aziz iaitu hubungan atau kerjasama atau persefahaman antara kerajaan negeri dengan kerajaan pusat bukan antara Pas dan Umno.


Menarik perhatian saya dalam memerhati isu ini adalah, tidak kedengaran di kalangan pimpinan pas yang pro idea kerajaan perpaduan memberi ulasan atau penjelasan atau mempertahankan kenyataan menteri besar kelantan itu berhubung isu ini. Saya tak pasti kenapa. Atau media tidak bertanya kepada pimpinan ini atau tiada ceramah yang melibatkan pimpinan ini sepanjang tempoh ini untuk mereka menjelaskan isu tersebut.


Kedua, pada saya betul apa yang dinyatakan oleh Presiden Pas yang mana idea Kerajaan Perpaduan ini akan dapat diterima juga akhirnya setelah masyarakat keseluruhan faham mengenai ideanya. Ini kerana pada saya, sudah ada kesediaan di pihak pimpinan Pas yang menentang idea kerajaan perpaduan untuk berbincang bentuk kerjasama atau hubungan dengan kerajaan negeri kelantan dengan kerajaan Persekutuan. Di mana kalau dahulunya bukan sahaja nak mengadakan hubungan, malah nak bertemu dan berbincang pun mereka (golongan anti-muzakarah/anti- kerajaan perpaduan) tak mau.


Ketiga, walaupun Datuk Nik Aziz dan setengah pimpinan pas telah menjelaskan bentuk hubungan ini iaitu antara kerajaan negeri kelantan dengan kerajaan persekutuan dan bukan antara Pas dengan Umno namun tidakkah kita maklum begitulah juga yang dijelaskan oleh Tim. Presiden Pas dalam menjelaskan isu kerajaan perpaduan, di mana kata beliau "kita berbincang dengan UMNO bukan bermakna berbincang untuk masuk Umno". Tetapi kenapa Datuk Nik Aziz cepat melatah dengan meminta Tim Presiden meletak jawatan. Kalangan ahli-ahli pas saya fikir boleh terima penjelasan beliau (Datuk Nik Aziz) mengenai bentuk hubungan yang hendak beliau jalinkan itu ...


Fikir-fikirkan.........






Jul 26, 2009

Apa beza Ust Nasha dengan Ibrahim Ali?

Kalau YB Ust Nasharuddin yang juga Tim Presiden Pas di minta meletak jawatan dan mengosongkan kerusi parlimen Bachok oleh Datuk Nik Aziz, mengapa Tok Guru Nik Aziz tidak mengeluarkan ucapan yang sama seperti yang dikeluarkan terhadap ust Nasharuddin Mat Isa kepada YB Dato' Ibrahim Ali, Ahli Parlimen Pasir Mas yang menang bertanding atas tiket Pas.

Apa beza dosa ust Nasha dengan YB Dato' Ibrahim Ali kepada PAS?. Seperti yang umum mengetahui, disebabkan ust Nasha menyokong idea kerajaan perpaduan yang dipelopori oleh Presiden parti dan bersedia berunding dengan UMNO untuk berbincang menegenai idea tersebutlah, beliau (ust Nasha) diminta melepaskan kerusi parlimen Bachok. Seolah-olah ini merupakan satu dosa atau kesilapan yang teramat besar kepada parti yang dilakukan oleh ust Nasha.

Jadi apa bezanya dengan YB Dato' Ibrahim Ali yang bertanding atas tiket Pas dan menang dan mengistiharkan dirinya BEBAS malah langsung tidak menunjukkan sikap berterima kasih di atas kemenangan yang dinikmatinya, apatah lagi menunjukkan perbezaan ketara dalam banyak isu dengan pimpinan PAS. Terbaru seperti yang dilaporkan oleh buletinonline pada 25 Julai 2009 di bawah tajuk "Ibrahim Ali Mengetuai Pembahagian Wang kepada Pengundi di Manek Urai". Apakah ini bukan satu dosa atau kesalahan atau pengkhianatan terhadap parti yang mengangkat kedudukannya sekarang?. Persoalanaya adakah kesalahan atau tindakan YB Dato' Ibrahim Ali (merujuk kepada tajuk berita buletinonline) itu tidak sebesar mana berbanding tindakan ust Nasharuddin.

Pada saya sepatutnya Tok Guru Nik Aziz mendesak YB Dato' Ibrahim Ali meletak jawatan YB Pasir Mas dan bertanding semula sebagai calon bebas. Mengapa Tok Guru Nik Aziz tidak berbuat demikian? Pada hal YB Dato' Ibrahim Ali langsung tidak menunjukkan sokongan kepada parti yang memenangkannya dalam PRU12 lalu. Bukan sahaja beliau (YBDIA) tidak menyokong parti yang memenangkannya malah berbeza dan menghentam pimpinan pas dalam banyak perkara. Sehinggakan sanggup mengetuai pembahagian wang di Manik Urai untuk menewaskan parti yang memenangkanya dalam PRU12 lalu seperti yang dilaporkan oleh buletinonline pada 25 Julai 2009.

Jadi apa bezanya kesalahan YB Ust Nasharudin Mat Isa dengan YB Dato' Ibrahim Ali??.

Tepuk dada tanya iman tapi jangan tanya Aiman, kalau tanya Aiman sudah tentu jawapannya Aiman tak kisah..


Jul 15, 2009

Ikhtibar Disebalik Keputusan MU

Keputusan Pilihanraya Kecil Manik Urai sudah diketahui umum. Memang sudah dijangka oleh pemerhati politik tanah air yang PAS berjaya mengekalkan kerusi itu, tetapi jumlah majoriti mungkin menjadi perkiraan bagi mereka.. Dan memang betul, PAS hampir-hampir tersungkur di negeri kubu kuat PAS di DUN yang menjadi kubu kuat PAS.

Sesetengah pimpinan PAS, kebiasaanya bila kalah atau ketidakpuasan hati berlaku terhadap sesuatu keputusan pilihanraya sudah tentu alasan yang biasa dilontarkan ialah pengundi hantu, rasuah, politik wang, PAS berdepan dengan kerajaan bukan parti politik, penyelewengan SPR dan macam-macam lagi. Jarang kedengaran kekalahan itu disebabkan oleh kelemahan jentera pilihanraya sendiri, atau nak nyatakan jentera pihak lawan lebih baik jauh sekali, atau sebagainya.

Bermula dari sebelum keputusan rasmi dikeluarkan, pengarah pilihanraya neggeri bagi DUN Manik Urai, YB. Hj Abdul Fatah telah begitu yakin PAS menang dengan majoriti hampir 2000. Walaupun ianya sebagai satu andaian tetapi sebagai pengarah pilihanraya yang diamanahkan oleh parti, saya menyatakan YB Abdul Fatah gagal menjalankan tugasnya. Ini kerana sepatutnya andaian yang dibuat oleh beliau selaku pengarah pilihanraya negeri mestilah berdasarkan kepada analisa yang menyeluruh, bukan berdasar kepada emosi atau atau psikologi perang/pilihanraya. Dan angka yang dikeluarkan kalau tidak hampir pun mestilah sesuai dengan keputusan sebenar, mungkin berbeza 300-500 undi. Tapi perbezaan majoriti hampir 2000 dengan keputusan sebenar 65 undi merupakan satu angka yang hanya sedap didengar semata-mata dan sudah pasti tidak melalui analisis yang dibuat oleh jentera Parti.

Ini menunjukkan bahawa seperti yang dinyatakan oleh para penganalisis politik tanah air bahawa jentera pilihanraya PAS di Manik Urai adalah yang terburuk berbanding jentera pilihanraya kecil sebelum ini iaitu di Kuala Terengganu dan Bukit Gantang. Kenapa ini berlaku? Mungkin kah perbezaan pendapat PAS Pusat dengan PAS kelantan berhubung isu kerajaan perpaduan, sehinggakan gambar presiden pun tak mahu dinaikkan pada awalnya apatah lagi gambar timbalan presiden yang diketahui umum dikecam oleh YAB Menteri Besar Kelantan? Inikah sikap pimpinan PAS yang dikatakan telah memberi baiah kepada pimpinan parti. Tetapi tidak merealisasikan kerana tidak sehaluan dengan kehendak pimpinan tertentu.

Manakala ahli Exco Kerajaan Kelantan, Datuk Husam Musa berkata dalam sidang media sejurus pengumuman kemenangan PAS di buat Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) bahawa "semua saudara-saudara tahu bahawa penggunaan politik wang adalah begitu berleluasa adanya sampul biru sampul kelabu dan sampul putih diedarkan kepada pengundi pada hari ini,"katanya di pusat Penjumlahan Undi Sekolah Menengah Kebangsaan Yahya Petra , Kuala Krai" - dipetik dari buletinonline.

Saya tak nak ulas tentang hal ini, tapi mungkin betul apa yang dinyatakan oleh YB Husam. Tetapi pada saya cukuplah kita mencari alasan, dan kita sepatutnya bersedia dari seluruh kekuatan yang ada untuk menghadapi ancaman yang sedia dimaklumi dan difahami. Apakah jentera PAS pada pilihanraya kali ini tidak berfungsi seperti yang diharapkan?


Cukuplah kita mencari alasan. Sepatutnya kita bersikap positif dan bersedia untuk menghadapi pihak lawan yang telah berjaya menarik semula pengundi untuk menghadapi PRU ke13 khasnya pengundi melayu.

PAS perlu sedar(saya yakin pimpinan sentiasa sedar), seingat saya sepanjang penyertaan PAS dalam pilihanraya umum bermula tahun 1990, PAS ada pasang surut yang silih berganti. Pas 1990 menang bergaya di Kelantan dan berjaya menambah kerusi di beberapa negeri. Kemudian pada pilihanraya umum seterusnya Pas mengalami kemerosotan dan pada pilihanraya 1999 PAS menang dengan bergaya dengan berjaya mempertahankan kelantan serta merampas Terengganu. Tetapi pilihanraya UMUM berikutnya tahun 2004, PAS kehilangan Terengganu dan Kelantan hampi dapat ditawan oleh BN. Dan tahun 2008 PAS bangkit, selain dapat mempertahankan kelantan dengan majoriti yang selesa, malah PAS berjaya menawan Kedah, menambah kerusi di Terengganu dan berjaya membentuk kerajaan di Selangor dan Perak dengan rakan-rakan pakatan Rakyat.

Jadi kalau kita lihat sejarah itu, adakah PRU13 nanti akan berlaku pusingan PAS akan kehilangan kerusi?? Kalau PAS sentiasa merasakan berada dalam zon selesa dan sentiasa mengharapkan sesuatu isu untuk bangkit dalam pilihanraya, pada saya mustahil pusingan itu akan berlaku pada PAS.

Jadi kepada saf pimpinan PAS pusat terutama presiden, mursyidul am dan timbalan presiden agar menjadikan keputusan pilihanraya kecil DUN Manik Urai di Kelantan ini sebagai satu ikhtibar dan pengajaran dalam menentukan halatuju parti sentiasa dilandasan yang betul dan releven.

Oleh itu, saya menyeru kepada seluruh pimpinan pas agar sentiasa membuat keputusan berhubung dengan sesuatu isu agar mempunyai kesepakatan yang jitu agar masyarakat keseluruhannya yakin dengan PAS dan Insyaallah kita akan mengekalkan dan melonjakkan momentum kemenangan ini dengan bergaya pada PRU13 nanti tambahan pula disaat masyarakat bukan Islam mula yakin dengan PAS.

Jul 7, 2009

Berbezakah : Antara Debat atau Wacana Ilmiah dengan Muzakarah??

Saya setuju dengan tindakan YB Usts Nasharuddin Mat Isa yang tidak bersama ketika mengiringi calon Pas dalam pilihanraya kecil Dun Manek Urai Kelantan. Walau apa pun telahan pimpinan pas, ada yang mengatakan Ust Nasha malu mata, dan tak kurang juga yang menyatakan itu dia punya hal, ketika menjawab persoalan wartawan.

Apapun Ust Nasha berhak menyatakan pendiriannya mengenai kerajaan perpaduan, jika inilah perkara yang menyebabkan beliau dikatakan 'malu mata' untuk ke Manek Urai bagi mengiringi calon Pas ketika penamaan calon Pilihanraya kecil Manik Urai pada 6 Julai lalu. Selaku Timbalan Presiden Pas yang dipilih oleh ahli Pas dalam muktamar baru-baru ini Ust Nasha berhak menyatakan pendiriannya walaupun ianya pandangan peribadi. Ust Nasha juga pernah menyatakan bahawa bersedia untuk berbincang dengan UMNO mengenai kerajaan perpaduan bukanlah bermakna berbincang dengan UMNO untuk membawa PAS masuk UMNO. Bukankah tugas timbalan presiden untuk membantu presiden untuk memperkasa dan memajukan parti??. Malahan idea kerajaan perpaduan itu datangnya dari presiden parti sendiri. Jadi salahkah ust. Nasha untuk mempertahankan idea presidennya?. Atau boneka UMNO ke ust. Nasha?

Dan sekarang timbul isu debat atau wacana ilmiah atau apa saja nama, dengan UMNO. Mengapa sekarang hendak berdebat atau mengadakan wacana ilmiah dengan UMNO??. Kalau dulu nak berberbincang atau bermuzakarah pun tak mahu dengan UMNO [kerana anggapan UMNO sudah lemas jadi tak perlu tolong] mengapa sekarang tiba teruja nak berdebat atau mengadakan perbincangan dengan UMNO. Dalam hal ini, saya rasa pandangan timbalan presiden ketika menjawab soalan wartawan di lobi parlimen dahulu mengenai isu muzakarah, yang mana timbalan presiden menyatakan "macam mana hendak berdakwah kalau bertemu pun tak boleh" adalah pandangan tiga langkah ke hadapan dan releven.

Jadi apa bezanya antara muzakarah dengan debat atau wacana ilmiah?? Pada saya sebagai timbalan presiden yang dipilih oleh ahli, ust Nasha tak buat dosa dan tak buat apa-apa salah pada parti.. jadi tak perlu 'malu mata' dengan apa yang berlaku ... malah pada saya dengan timbulnya isu debat atau wacana ilmiah ini memberi sedikit merit kepada YB Ust Nasharudin.

Tepuk dada tanya iman, tapi jangan tanya Aiman, kalau tanya Aiman sudah tentu jawapannya Aiman tak kisah.

Jun 11, 2009

Sepatutnya Tok Guru Nik Aziz Bertanding Jawatan Presiden PAS ....

Saya teruja untuk menulis lagi .... Kenyataan Tok Guru Nik Aziz dengan menyatakan pemimpin PAS yang bercakap tentang kerajaan perpaduan adalah Boneka UMNO adalah tidak patut pada hemat saya. Ini kerana yang bercakap dan melontarkan idea kerajaan perpaduan itu adalah Presiden PAS (ini tidaklah bermakna ahli tidak boleh menegur Presiden), didokong pula Tim. Presiden yang dipilih secara sah dalam Muktamar ke-55 baru-baru ini. Saranan Setiausaha Agung PAS (yang baru) supaya semua pihak berhenti membuat kenyataan umum berhubung isu tersebut bagi mengelak kekeliruan juga di tolak oleh TGNA.
Lebih dukacita lagi bagi saya seperti yang dilaporkan oleh malaysiakini.com di bawah tajuk 'Boneka Umno' suka k'jaan perpaduan' - Jun 11, 09 4:02pm kata beliau "Presiden ini ketua bagi pertubuhan, dan pertubuhan tidak buat keputusan, itu kenyataan peribadi," katanya. Saya setuju dengan kenyataan TGNA itu tetapi TG Presiden berkali menyatakan ini adalah cadangan atau idea beliau untuk dibahaskan oleh umum.
Adakah wajar Tok Guru Nik Aziz melebelkan pimpinan parti yang bercakap menegenai kerajaan perpaduan ini dianggap Boneka UMNO, seperti Dato Presiden PAS. Walaupun TGNA tidak menyebut secara terperinci siapakah yang dimaksudkan sebagai Boneka UMNO itu, tetapi adakah TGNA tidak tahu yang menyatakan dan yang bercakap tentang kerajaan perpaduan itu adalah Presiden PAS sendiri. Kalau Dato' Presiden dianggap oleh Tok Guru Nik Aziz sebagai Boneka UMNO, saya fikir Tok Guru Nik Aziz sepatutnya mencabar TGHA bagi jawatan Presiden dalam muktamar PAS ke-55 minggu lepas. Memanglah jawatan mursyidul am lebih tinggi, tetapi yang menjalankan kuasa eksekutif dalam parti adalah presiden parti.
Bercakap tentang Boneka UMNO ini teringat saya tentang kenyataan TGNA selepas muktamar PAS di Perak 2008, kalau tak salah saya berbunyi 'Pembentukan Kerajaan 16 September 2008' bukan angan-angan Mat Jenin. Apa yang saya nak nyatakan di sini adalah, adakah Tok Guru Nik Aziz tidak tahu yang mempopularkan perkataan Mat Jenin ketika itu adalah Dato Presiden PAS, yang menyatakan bahawa beliau (TGHA) tidak mahu menjadi ahli politik Mat Jenin ketika mejawab soalan wartawan mengenai siapakah Perdana Menteri jika terbentuknya kerajaan pakatan rakyat pada 16 september dalam sidang media selepas muktamar di Ipoh yang lalu.
Seperti yang saya tulis dalam tulisan saya yang lepas, TGNA sentiasa suka memilih untuk berbeza pendapat dengan TGHA. Bermula isu kerajaan 16 September 2008, Muzakarah/Muqabalah Pas-Umn0, Isu Kerajaan Perpaduan dan yang terkini tentang soal perlantikan AJK Pas Pusat untuk mengisi kouta Ahli yang dilantik. TGNA sekali lagi tidak sependapat dengan Presiden Parti yang melantik Dato' Mustafa Ali sebagai Setiausaha Agung Pas, yang saya fikir mempunyai autoriti untuk melantik seorang Setiausaha Agung parti. Mengapakah perbezaan pendapat secara terbuka ini sering berlaku antara kedua-dua tokoh penting Pas ini??
Dalam pengamatan saya, perbezaan pendapat yang ketara antara Dato' Mursyidul Am dengan Dato' Presiden PAS ini hanya berlaku selepas Pilihanraya Umum Mac 2008 atau lebih tepat lagi ketika ura-ura pembetukan kerajaan pakatan rakyat 16 september 2008 (dengan mengambilkira ahli yang melompat). Sebelum dari itu, seingat saya apa yang disuarakan oleh Presiden Parti sentiasa mendapat sokongan dari Dato' Mursyidul Am.
Akhirnya, saya mendoakan agar kedua-dua pimpinan ini dapat 'bersama' semula dalam melayari bahtera Pas agar selamat dan sejahtera menuju destinasi.

Jun 10, 2009

Tok Guru Nik Aziz Terus Memilih berbeza pendapat dengan Dato Presiden

Saya tak faham mengapa pimpinan PAS memilih untuk berbeza pendapat dalam dua isu besar yang mungkin mendatangkan mudarat kepada parti di saat masyarakat majmuk memberi kepercayaan dan sokongan kepada PAS.
Isu pertama, berhubung muzakarah/muqabalah dengan UMNO yang akhirnya mewujudkan seperti dua golongan dalam PAS, iaitu golongan pro-muzakarah dan golongan anti muzakarah/erdogan. Umum mengetahui golongan pro-muzakarah didokong oleh Dato' Seri TG Presiden, bersama Dewan Ulama dan Tim Mursyidul Am. Manakala golongan anti Muzakarah/Muqabalah direstui oleh Tok Guru Mursyidul Am dan beberapa pimpinan kanan PAS dan diketuai oleh mantan Naib Presiden Dato' Husam Musa.
Seingat saya, Dato' Mursyidul Am pernah menyatakan "seandainya UMNO betul-betul hendak kepada Islam, ambe orang pertama masuk UMNO dan PAS akan dibubarkan" dan seingat saya juga Dato' Presiden pernah menyatakan "Kita menentang UMNO bukan kerana namanya UMNO, tetapi kita menentang UMNO kerana UMNO mengamalkan dan mengekalkan undang-undang penjajah.
Berdasarkan kepada kedua-dua kata-kata hikmat dua pimpinan tertinggi PAS itu, maka pada saya tidak salah bagi PAS untuk bertemu dan berbincang dengan UMNO asalkan untuk kepentingan ummah keseluruhannya.
Dan saya berasa hairan mengapa Tok Guru Nik Aziz terus menerus menghentam secara terbuka Dato' Presiden yang bersedia untuk bertemu dan bersedia bermuzakarah dengan UMNO. Di manakah kewajaran ucapan atau kata-kata TGNA di atas.
Begitu juga dengan isu kerajaan perpaduan. TGNA sekali lagi mengkritik dan menunjukkan perbezaan terbuka dengan idea Dato' Presiden. Pada saya isu kerajaan perpaduan ini ada hubungannya dengan isu pertama tadi, jadi di manakah kata-kata TGNA yang bersedia masuk UMNO dan membubarkan PAS asalkan UMNO hendak kepada Islam. Memang tidak jelas soal UMNO hendak kepada Islam atau tidak, tetapi bagaimana hasilnya hendak diperolehi jika bertemu pun tidak mau..
Mungkinkah percanggahan dan perbezaan pendapat TGAH dan TGNA dalam isu-isu di atas ada kebenarannya dari apa yang dinyatakan oleh anak TGNA iaitu Nik Abduh bahawa TGNA mungkin di beri nasihat yang salah oleh penasihat-penasihat atau orang di sekelilingnya.
Akhirnya, saya mengharapkan agar PAS tidak berpecah seperti mana perpecahan yang berlaku ketika PAS membentuk kerjasama dengan Semangat 46 pada lewat 80an dulu.
Marilah kita memperkasakan parti disaat masyarakat Majmuk memberi harapan kepada PAS.

Jun 6, 2009

Betulke PAS berpuak-puak??

Tahniah! kepada Ust Nasharuddin Mat Isa kerana berjaya mempertahankan kerusi Tim. Presiden Pas.. Dan seterusnyan tahniah juga kepada Naib-naib Presiden yang baru dipilih Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man, YB Salehuddin Ayob dan YB Dato' Mahfuz Omar.

Kepada yang tewas saya merakamkan syabas kerana anda berjaya mengetengahkan idea perjuangan yang murni.. cuma belum dapat diterima dan mungkin belum difahami oleh para perwakilan.

Saya tertarik untuk melontarkan pandangan tentang komen-komen yang dibuat oleh calon-calon Tim. Presiden selepas keputusan rasmi diumumkan.. Antaranya komen yang dinyatakan oleh YB Doto' Husam adalah "Saya amat bersyukur kerana naib dan ahli jawatankuasa yang terpilih kebanyakannya akan melaksanakan pandangan politik saya. Dan mereka pada hemat saya, akan meneruskan keputusan muktamar sebelum ini,"

Menurutnya Tuan Ibrahim Tuan Man, Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar serta separuh daripada ahli jawatankuasa yang baru itu, berkongsi pandangan politik yang sama dengan beliau. kata Husam. – Malaysiakini.com - Jimadie Shah Othman Jun 6, 09 12:45pm.

Saya kurang faham mengapa Dato' Husam mengeluarkan pandangan seperti ini. Seolah-olah betul apa yang ditelah oleh para pemerhati politik bahawa wujudnya puak-puak seperti Pro Muqabalah dan Anti-Muqabalah atau Erdogan dalam PAS... Selama ini dari apa yang saya baca yang melebelkan begitu kata pimpinan PAS adalah pihak media atau parti lawan ... Jadi jika begitulah komen Dato Husam maka benarlah dalam PAS ini mempunyai puak-puak seperti ini. Mengapa Dato' Husam menyatakan separuh dari AJK yang dipilih terdiri daripada mereka yang mempunyai pandangan politik yang sama dengan beliau. Berdasarkan ini, maka telahan saya... bermakna Dato' Husam telah mempersiapkan satu barisan Naib-naib Presiden dan AJK kerja PAS untuk merealisasikan hasrat beliau untuk mencorakkan halatuju PAS pada masa akan datang seandainya beliau menang dalam pemilihan ini untuk berdepan dengan golongan yang berpegang atau sehaluan dengan idea Presiden Parti.

Saya juga tertarik dengan komen seorang lagi calon Tim. Presiden iaitu Saudara Mohammad Sabu yang menyatakan bahawa kekalahannya adalah "satu perkara biasa" Ini kerana, katanya, beliau pernah mengalami beberapa kekalahan dalam pemilihan sebelum ini.

Kepada Saudara Mohammad Sabu, anda adalah antara pimpinan PAS yang hebat tetapi percubaan anda untuk ke kerusi no 2 parti terhalang mungkin masa dan keadaan tidak menyebelahi anda..

Apr 30, 2009

Kemerosotan Akhlak Di Kalangan Pelajar, Salah Siapa??

Kebelakangan ini seringkali terpapar isu-isu yang melibatkan kemerosotan akhlak di kalangan remaja khasnya di kalangan pelajar sekolah. Bermula dari isu ponteng sekolah, ponteng kelas, merokok, bohsia, bohjan, rempit, seks bebas, dan seumpamanya yang kadang kala mencabar sistem pendidikan negara. Adakah sistemnya yang bermasalah atau jentera pelaksanaannya atau 'subjek lain' yang mempengaruhi kemerosotan ini.

Kerajaan telah berusaha sedaya upaya menyediakan segala dasar pendidikan bagi memastikan terbentuknya modal insan yang cemerlang dengan meyediakan kurikulum pendidikan yang bersepadu samada di peringkat rendah dan menengah dan yang terkini melalui Pelan Induk Pembangunan Pendidikan yang mana akhirnya untuk memberi kesejahteraan kepada masyarakat. Namun walaupun sehebat mana perancangan dan dukumentasi yang di warwalkan tidak akan mampu untuk membentuk modal insan yang diharapkan tanpa dokongan dan sokongan oleh semua anggota masyarakat.Saya tidaklah berminat untuk membincangkan sistem pendidikan yang telah diterimapakai itu. Di sini, saya suka untuk memberi pandangan 'subjek lain' yang saya sebut di atas tadi. Apa yang saya maksudkan 'subjek lain' itu adalah pengaruh luar seperti program-program realiti tv, hiburan melampau, karnival-karnival yang berakhir dengan hiburan lewat malam dan lain-lain lagi yang semua ini boleh membantut usaha-usaha murni dalam sistem pendidikan untuk melahirkan modal insan berkualiti.

Mari kita lihat perbezaan masa pengisian jiwa remaja khasnya pelajar sekolah. Di sekolah, bagi pelajar Islam menengah rendah, mereka diperuntukkan dengan enam [iaitu 3 + 2 + 1] waktu seminggu bagi subjek Pendidikan Islam dan tiga waktu seminggu bagi pelajar bukan Islam dengan subjek Pendidikan Moral. Satu waktu bersamaan dengan empat puluh minit [bergantung kepada sekolah]. Enam waktu seminggu bagi subjek Pendidikan Islam bersamaan dengan 240 minit atau empat jam seminggu berbanding masa sebenar yang dianugerahkan kepada kita adalah 168 jam seminggu. Cukupkah masa ini untuk kita terapkan ilmu agama dan moral untuk menjadi benteng pertahanan dalaman pada anak-anak kita dari terjebak kepada anasir-anasir negatif yang datang dari pelbagai arah atau penjuru? Cukupkah jika mengharapkan masa 240 minit seminggu itu untuk membentuk jiwa anak-anak kita tanpa ada usaha dari keluarga memberi nilai tambah yang berkualiti di rumah? Masa 240 minit itu belum lagi di tolak seandainya guru ada tugasan lain di luar sekolah, yang menyebabkan pengajaran dan pembelajaran terbantut. Juga masa 240 minit ini belum lagi ditolak sekiranya hari kelepasan am jatuh pada hari subjek berkenaan. Seandainya 240 minit ini diharapkan oleh ibubapa atau masyarakat keseluruhannya untuk membentuk modal insan berkualiti adalah sangat tidak tepat. Mengapa saya membangkitkan ini?
Pada lewat tahun 90an atau awal tahun 2000 dahulu timbulnya isu golongan yang disifatkan sebagai golongan pelampau agama, ada kalangan masyarakat dan juga kalangan pemimpin yang menyatakan guru agama di sekolah tidak mengajar agama di sekolah, berikutan dari kecenderungan remaja ketika itu cenderung kepada parti politik tertentu. Ini adalah tuduhan yang amat berat pada saya. Jika diambil kira peruntukan masa 240 minit atau empat jam seperti yang dinyatakan di atas, mustahil bagi guru agama "melawan" 164 jam lagi yang mana di sogok dengan pelbagai bentuk anasir. 164 jam tadi ditolak dengan waktu tidur (mengandaikan waktu tidur 8 jam sehari) sebanyak 56 jam seminggu maka, anak-anak kita terdedah akan pengaruh luar samada negatif atau positif adalah sebanyak 108 jam seminggu.

Tambahan pula dengan melambaknya program-program realiti tv yang berbentuk hiburan seperti AF, Gengs Star dan sebagainya yang sangat berpengaruh di kalangan remaja boleh mendorong mereka berada di hadapan tv sehingga lewat malam yang akhirnya serba sedikit boleh mengganggu masa tidur yang akhirnya merencatkan proses penerimaan ilmu di sekolah. Ini juga boleh mengurangkan masa ulangkaji pelajaran di rumah. Saya bukanlah anti hiburan tetapi, pihak penganjur juga perlu memikirkan kesan kepada penonton yang rata-rata dari kalangan remaja yang masih bersekolah. Mungkin boleh difikirkan oleh mereka untuk menamatkan program itu lebih awal. Mungkin ada yang berfikir itu adalah bergantung kepada individu tersebut. Tepuk dada tanya iman!!! Sedarkah kita bahawa kalangan remaja sangat mudah terpengaruh cara penampilan personaliti sama ada dari segi cara berpakaian atau potongan rambut.

Keadaan menjadi lebih 'kalut' lagi apabila pihak-pihak tertentu menganjurkan sesuatu karnival yang penghujung karnival itu menghidangkan hiburan yang tanpa membatasi pergaulan lelaki dan wanita. Memburukkan lagi keadaan, acara itu di adakan pada hari ahad malam isnin yang berakhir sehingga pukul 1130pm atau 1200 tengah malam. Seandainya dan sudah tentu rata-rata penontonnya adalah dari kalangan remaja atau pelajar sekolah. Ada kalangan penonton atau remaja itu datang dari luar kawasan berlangsung dari acara itu, sudah tentu mengambil masa yang lama untuk sampai ke rumah. Sekiranya perjalanan pulang mengambil masa satu jam, mereka akan sampai ke rumah lebih kurang pukul satu pagi. Belum tentu mereka terus tidur! Oleh itu, pukul berapa mereka bangun untuk ke sekolah keesokan harinya?? Saya tidaklah membantah mereka yang ingin berkarnival atau menganjurkan karnival, tetapi selain dari memikirkan keuntungan, sebagai tanggungjawab sosial kepada masyarakat cuba fikirkan kesan acara yang mereka anjurkan itu kepada pelajar sekolah.

Itu sekiranya mereka terus pulang ke rumah! Bagaimana kalau mereka mengambil masa untuk melepak bersama rakan-rakan selepas dari acara tersebut. Dan bagaimana sekiranya mereka melepak bersama pasangan masing-masing? Mungkinkah berlaku seperti mana yang dilaporkan oleh salah sebuah stesen tv pada sekitar bulan februari yang lalu, di mana antara pasangan yang di tangkap pada malam menyambut "Hari Berkasih Sayang" adalah di kalangan remaja yang masih bersekolah di salah sebuah negeri di pantai timur.

Mengapakah perkara ini berlaku dan terjadi? Adakah ianya berpunca dari sistem pendidikan? Atau adakah ianya berpunca dari salah guru agama yang kononnya dikatakan tidak mengajar agama di sekolah? Atau adakah ianya berpunca dari lambakan hiburan melampau yang melampaui batas masa dan jantina? Atau adakah kurangnya pertimbangan ibubapa untuk membatasi pergerakan anak-anak remaja? Atau adakah ianya berpunca dari sikap remaja atau pelajar yang tidak mempedulikan teguran dan nasihat?

Tepuk dada tanya Iman! Jangan tepuk dada tanya Aiman, kalau tepuk dada tanya Aiman, sudah tentu jawapannya.... Aiman tak kisah..

Wallahu aklam.