Saya tak faham mengapa pimpinan PAS memilih untuk berbeza pendapat dalam dua isu besar yang mungkin mendatangkan mudarat kepada parti di saat masyarakat majmuk memberi kepercayaan dan sokongan kepada PAS.
Isu pertama, berhubung muzakarah/muqabalah dengan UMNO yang akhirnya mewujudkan seperti dua golongan dalam PAS, iaitu golongan pro-muzakarah dan golongan anti muzakarah/erdogan. Umum mengetahui golongan pro-muzakarah didokong oleh Dato' Seri TG Presiden, bersama Dewan Ulama dan Tim Mursyidul Am. Manakala golongan anti Muzakarah/Muqabalah direstui oleh Tok Guru Mursyidul Am dan beberapa pimpinan kanan PAS dan diketuai oleh mantan Naib Presiden Dato' Husam Musa.
Seingat saya, Dato' Mursyidul Am pernah menyatakan "seandainya UMNO betul-betul hendak kepada Islam, ambe orang pertama masuk UMNO dan PAS akan dibubarkan" dan seingat saya juga Dato' Presiden pernah menyatakan "Kita menentang UMNO bukan kerana namanya UMNO, tetapi kita menentang UMNO kerana UMNO mengamalkan dan mengekalkan undang-undang penjajah.
Berdasarkan kepada kedua-dua kata-kata hikmat dua pimpinan tertinggi PAS itu, maka pada saya tidak salah bagi PAS untuk bertemu dan berbincang dengan UMNO asalkan untuk kepentingan ummah keseluruhannya.
Dan saya berasa hairan mengapa Tok Guru Nik Aziz terus menerus menghentam secara terbuka Dato' Presiden yang bersedia untuk bertemu dan bersedia bermuzakarah dengan UMNO. Di manakah kewajaran ucapan atau kata-kata TGNA di atas.
Begitu juga dengan isu kerajaan perpaduan. TGNA sekali lagi mengkritik dan menunjukkan perbezaan terbuka dengan idea Dato' Presiden. Pada saya isu kerajaan perpaduan ini ada hubungannya dengan isu pertama tadi, jadi di manakah kata-kata TGNA yang bersedia masuk UMNO dan membubarkan PAS asalkan UMNO hendak kepada Islam. Memang tidak jelas soal UMNO hendak kepada Islam atau tidak, tetapi bagaimana hasilnya hendak diperolehi jika bertemu pun tidak mau..
Mungkinkah percanggahan dan perbezaan pendapat TGAH dan TGNA dalam isu-isu di atas ada kebenarannya dari apa yang dinyatakan oleh anak TGNA iaitu Nik Abduh bahawa TGNA mungkin di beri nasihat yang salah oleh penasihat-penasihat atau orang di sekelilingnya.
Akhirnya, saya mengharapkan agar PAS tidak berpecah seperti mana perpecahan yang berlaku ketika PAS membentuk kerjasama dengan Semangat 46 pada lewat 80an dulu.
Marilah kita memperkasakan parti disaat masyarakat Majmuk memberi harapan kepada PAS.

No comments:
Post a Comment