Jul 15, 2009

Ikhtibar Disebalik Keputusan MU

Keputusan Pilihanraya Kecil Manik Urai sudah diketahui umum. Memang sudah dijangka oleh pemerhati politik tanah air yang PAS berjaya mengekalkan kerusi itu, tetapi jumlah majoriti mungkin menjadi perkiraan bagi mereka.. Dan memang betul, PAS hampir-hampir tersungkur di negeri kubu kuat PAS di DUN yang menjadi kubu kuat PAS.

Sesetengah pimpinan PAS, kebiasaanya bila kalah atau ketidakpuasan hati berlaku terhadap sesuatu keputusan pilihanraya sudah tentu alasan yang biasa dilontarkan ialah pengundi hantu, rasuah, politik wang, PAS berdepan dengan kerajaan bukan parti politik, penyelewengan SPR dan macam-macam lagi. Jarang kedengaran kekalahan itu disebabkan oleh kelemahan jentera pilihanraya sendiri, atau nak nyatakan jentera pihak lawan lebih baik jauh sekali, atau sebagainya.

Bermula dari sebelum keputusan rasmi dikeluarkan, pengarah pilihanraya neggeri bagi DUN Manik Urai, YB. Hj Abdul Fatah telah begitu yakin PAS menang dengan majoriti hampir 2000. Walaupun ianya sebagai satu andaian tetapi sebagai pengarah pilihanraya yang diamanahkan oleh parti, saya menyatakan YB Abdul Fatah gagal menjalankan tugasnya. Ini kerana sepatutnya andaian yang dibuat oleh beliau selaku pengarah pilihanraya negeri mestilah berdasarkan kepada analisa yang menyeluruh, bukan berdasar kepada emosi atau atau psikologi perang/pilihanraya. Dan angka yang dikeluarkan kalau tidak hampir pun mestilah sesuai dengan keputusan sebenar, mungkin berbeza 300-500 undi. Tapi perbezaan majoriti hampir 2000 dengan keputusan sebenar 65 undi merupakan satu angka yang hanya sedap didengar semata-mata dan sudah pasti tidak melalui analisis yang dibuat oleh jentera Parti.

Ini menunjukkan bahawa seperti yang dinyatakan oleh para penganalisis politik tanah air bahawa jentera pilihanraya PAS di Manik Urai adalah yang terburuk berbanding jentera pilihanraya kecil sebelum ini iaitu di Kuala Terengganu dan Bukit Gantang. Kenapa ini berlaku? Mungkin kah perbezaan pendapat PAS Pusat dengan PAS kelantan berhubung isu kerajaan perpaduan, sehinggakan gambar presiden pun tak mahu dinaikkan pada awalnya apatah lagi gambar timbalan presiden yang diketahui umum dikecam oleh YAB Menteri Besar Kelantan? Inikah sikap pimpinan PAS yang dikatakan telah memberi baiah kepada pimpinan parti. Tetapi tidak merealisasikan kerana tidak sehaluan dengan kehendak pimpinan tertentu.

Manakala ahli Exco Kerajaan Kelantan, Datuk Husam Musa berkata dalam sidang media sejurus pengumuman kemenangan PAS di buat Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) bahawa "semua saudara-saudara tahu bahawa penggunaan politik wang adalah begitu berleluasa adanya sampul biru sampul kelabu dan sampul putih diedarkan kepada pengundi pada hari ini,"katanya di pusat Penjumlahan Undi Sekolah Menengah Kebangsaan Yahya Petra , Kuala Krai" - dipetik dari buletinonline.

Saya tak nak ulas tentang hal ini, tapi mungkin betul apa yang dinyatakan oleh YB Husam. Tetapi pada saya cukuplah kita mencari alasan, dan kita sepatutnya bersedia dari seluruh kekuatan yang ada untuk menghadapi ancaman yang sedia dimaklumi dan difahami. Apakah jentera PAS pada pilihanraya kali ini tidak berfungsi seperti yang diharapkan?


Cukuplah kita mencari alasan. Sepatutnya kita bersikap positif dan bersedia untuk menghadapi pihak lawan yang telah berjaya menarik semula pengundi untuk menghadapi PRU ke13 khasnya pengundi melayu.

PAS perlu sedar(saya yakin pimpinan sentiasa sedar), seingat saya sepanjang penyertaan PAS dalam pilihanraya umum bermula tahun 1990, PAS ada pasang surut yang silih berganti. Pas 1990 menang bergaya di Kelantan dan berjaya menambah kerusi di beberapa negeri. Kemudian pada pilihanraya umum seterusnya Pas mengalami kemerosotan dan pada pilihanraya 1999 PAS menang dengan bergaya dengan berjaya mempertahankan kelantan serta merampas Terengganu. Tetapi pilihanraya UMUM berikutnya tahun 2004, PAS kehilangan Terengganu dan Kelantan hampi dapat ditawan oleh BN. Dan tahun 2008 PAS bangkit, selain dapat mempertahankan kelantan dengan majoriti yang selesa, malah PAS berjaya menawan Kedah, menambah kerusi di Terengganu dan berjaya membentuk kerajaan di Selangor dan Perak dengan rakan-rakan pakatan Rakyat.

Jadi kalau kita lihat sejarah itu, adakah PRU13 nanti akan berlaku pusingan PAS akan kehilangan kerusi?? Kalau PAS sentiasa merasakan berada dalam zon selesa dan sentiasa mengharapkan sesuatu isu untuk bangkit dalam pilihanraya, pada saya mustahil pusingan itu akan berlaku pada PAS.

Jadi kepada saf pimpinan PAS pusat terutama presiden, mursyidul am dan timbalan presiden agar menjadikan keputusan pilihanraya kecil DUN Manik Urai di Kelantan ini sebagai satu ikhtibar dan pengajaran dalam menentukan halatuju parti sentiasa dilandasan yang betul dan releven.

Oleh itu, saya menyeru kepada seluruh pimpinan pas agar sentiasa membuat keputusan berhubung dengan sesuatu isu agar mempunyai kesepakatan yang jitu agar masyarakat keseluruhannya yakin dengan PAS dan Insyaallah kita akan mengekalkan dan melonjakkan momentum kemenangan ini dengan bergaya pada PRU13 nanti tambahan pula disaat masyarakat bukan Islam mula yakin dengan PAS.

No comments:

Post a Comment