Dec 3, 2009

Pengorbanan lampau dan kini

TGNA bersungguh-sungguh mendesak Pas Pusat untuk mengadakan EGM bagi membincangkan dua tiga kerat pemimpin Pas yang bermasalah seperti yang dilaporkan dalam blognya yang menggemparkan seluruh negara beberapa bulan lepas ketika mengulas tulisan Dr Aziz Bari. Akhirnya seperti yang diketahui khalayak EGM yang dicadangkan ditukarkan kepada Seminar Khas. Moralnya... pengaruh dan kredibiliti TGNA berjaya mempengaruhi Pas Pusat untuk mengadakan seminar itu.
Hampir dua minggu berlalu arahan dan nasihat PAS Pusat kepada TGNA untuk mengarahkan dan menasihatkan menantunya Arif Fahmi meletak jawatan CEO PMBK. Namun sehingga hari ini tiada hitam putih perletakkan jawatan tersebut. Adakah kenyataan akhbar TGNA selepas pertemuan dengan Pas Pusat tempoh hari hanya sekadar 'ubat pelali' untuk meredakan keadaan.

Melihat apa yang berlaku di Kelantan sekarang khasnya isu CEO PMBK, walaupun telah dinasihat oleh Pas Pusat untuk menasihati menantunya AAF supaya meletak jawatan namun TGNA dilihat kurang berjaya dalam menyelesaikan kemelut ini berbanding desakannya terhadap Parti untuk mengadakan seminar khas. Sepatutnya pada hemat saya TGNA boleh mengarahkan supaya menantunya mengosongkan kerusi CEO PMBK serta merta setelah perjumpaan dengan Pas Pusat tempoh hari sekiranya ingin mengelak dari berlaku fitnah dan menjaga nama baik kepimpinan Parti PAS, dan PAS Kelantan serta persepsi negatif terhadap kepimpinan TGNA sendiri. Akibat dari itu, isu ini terus menerus dimainkan oleh media arus perdana dan media baru. Khalayak melihat integriti TGNA terjejas kerana lambat bertindak atau menasihat menantunya meletak jawatan dengan kadar segera walaupun telah diberi nasihat untuk berbuat demikian. Adakah Abdul Arif Fahmi memerlukan masa 1 -3 bulan untuk mengosongkan kerusi CEO tersebut?

Sehubungan dengan itu, bersempena bulan haji ini, saya insaf dan sedar bahawa pengorbanan Nabi Allah Ibrahim a.s bila menerima perintah dari Allah supaya menyembelih anaknya Nabi Ismail a.s sangat berat untuk dilaksanakan, namun ketaatan dan keimanan Nabi Ibrahim kepada Allah s.w.t mengatasi segalanya. Kita melihat Nabi Allah Ibrahim melaksanakan perintah Allah dengan rasa ketakwaan yang tinggi. Memang kita sebagai manusia biasa tidak mampu untuk menghadapi ujian yang sebegitu hebat seperti yang dihadapi oleh Nabi Ibrahim a.s.

Bila musim haji kita selalu menceritakan kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail ini. Sedikit sekali dari kalangan kita, termasuk penulis yang mengambil pengajaran untuk dijadikan penyuluh mendepani kehidupan ini. Kita sekarang bukan berdepan dengan ujian seperti Nabi Ibrahim, tetapi ujian dengan gula, kain batik/pelikat, wang ringgit, anak, menantu, isteri dan harta benda dan lain-lain perhiasan dunia. Adakah kita mampu mendepani dan mengurus ujian ini? Tepuk dada tanya iman….


Wallahu aklam..

No comments:

Post a Comment