Selepas Presiden dan Timbalan presiden PKR mengeluarkan kenyataan (tentang ketuanan melayu) yang sedikit sebanyak mengguris hati orang melayu, kini dan terbaru Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan Bukan Melayu juga boleh menjadi timbalan Perdana Menteri.
Walaupun umum telah mengetahui tiada peruntukan undang-undang yang menyatakan TPM adalah hak orang Melayu, namun secara tidak langsung Anwar memperkecilkan kemampuan rakan-rakan dalam PAS.
Saya berpendapat, baik Presiden, Timbalan Presiden mahupun Ketua Umum PKR mengeluarkan kenyataan ini adalah strategi untuk menarik golongan bukan melayu untuk terus memberi sokongan kepada PKR demi meneruskan kelangsungan parti ini.
Parti Keadilan Rakyat (PKR) hanya gah pada pimpinan atasan, tapi cuba turun ke peringkat akar umbi (terutama kawasan majoriti pengundi Melayu) boleh dikatakan yang menggerakkan jentera pilihanraya adalah dari kalangan ahli PAS. Saya bagi contoh mudah, dalam kawasan pilihanraya Dewan Undangan Negeri Telemung, Hulu Terenggganu, Terengganu. PAS berkorban merelakan DUN berkenaan ditandingi oleh PKR sebagai tanda persahabatan dalam Pakatan Rakyat. Jika hendak dinilai dari segi kekuatan parti, PAS lebih berhak bertanding di DUN ini dan jika dilihat kepada bilangan cawangan PKR dan PAS dalam DUN tersebut jauh lebih banyak cawangan PAS. Lihat saja dalam pilihanraya umum ke 12 2008, yang menggerakkan jenteranya adalah kalangan ahli PAS. Ini hanya contoh di satu DUN.
Berdasarkan senario ini, pimpinan atasan dalam PKR, perlulah mengeluarkan kenyataan yang boleh menjaga kepentingan pelbagai kaum. Jangan untuk menjaga atau menarik sokongan kaum tertentu, kaum lain pula terasa, dan nilai kekuatan dan kelemahan diri sentiasa.

No comments:
Post a Comment